Posts (page 2)
Hari ini ialah hari pertama musim persekolahan bagi tahun 2008. Ianya merupakan hari yang sibuk bagi kebanyakan ibu bapa. Dalam hal ini, kami juga tidak terkecuali. Pada tahun lepas, kami mempunyai dua orang anak yang telah memasuki zaman persekolahan, iaitu Abdul Muizz dan Nurul Iman diperingkat tahun lima dan dua masing-masingnya.
Pada tahun ini, kami mempunyai seorang lagi yang akan memasuki persekolahan, iaitu Irfan. Kesemua anak-anak kami tidak memasuki peringkat pra-sekolah, jadi ini menambahkan lagi cabaran yang akan dihadapi.
Selepas selesai sessi taklimat oleh Guru Besar SK Sri Indra, kami dikehendaki membawa anak-anak masing masing kekelas yang telah ditetapkan. Irfan pada mulanya nampak ok, tetapi setelah 5 minit berada di dalam kelas, dia meluru keluar mencari aku yang berada disana. Takut, malu dan tak biasa katanya apabila aku menyuruhnya memasuki kelas.
Aku cuba juga memujuk sambil menghantarkan ketempat duduknya, namun dia tetap tidak mahu duduk dan mengajak ku balik. Nampaknya tak sempatlah aku nak melakukan urusan pembayaran yuran serta pengambilan buku teks. Memikirkan takut menimbulkan fobia bagi dirinya untuk hari2 yang seterusnya, aku beralah. Jom lah kita balik, kita datang esok pulak ye? Kataku dalam nada memujuk.
Jadi itulah hari pertama Irfan disekolah, dan semoga besok dia dapat bertahan lebih lama.
Sufya adalah anak kami yang keempat, dilahirkan pada 17 Jun 2005 di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Kelang.
Tahun 2005 adalah tahun yang kami selalu merujuk sebagai Tahun Seribu Peristiwa, dimana pada tahun ini pelbagai peristiwa manis, pahit, masam, kelat dan sebagainya telah kami tempuhi dan lalui, yang banyak mematangkan kami sekeluarga dalam menghadapi kehidupan dihari muka. Ianya berpunca dari keputusanku untuk meninggalkan pekerjaan yang bergaji tetap kepada satu corak kehidupan yang bercorak baru..
Maka pada tahun itulah Sufya dilahirkan. Justeru, tidak hairan jika banyak perbezaannya dengan abang2 dan kakaknya. Pertamanya dia sangat petah dan lancar bercakap, dan keduanya dia sangat sensitif. Dia sangat suka bercerita kepadaku tentang apa saja yang dilihat dan didengarnya. Dan amat sensitif dengan tindakbalasku. Selalunya bila aku sibuk dengan perkara lain, aku hanya respon " ya, ahaa, angguk" dan sebagainya. Ini amat tidak disukainya. Selalunya dia akan mengatakan, " abah, cakaplah dengan Pila, abah". Begitulah Sufya yang mendapat sepenuh perhatian dari kami sekeluarga.
Akan tetapi, Sufya sekarang sedang melalui fasa-fasa baru didalam kehidupannya, iaitu menerima kedatangan adiknya. Semasa isteriku sedang melalui minggu-minggu terakhir sebelum melahirkan adiknya, Sufya telah dapat merasakan kurang perhatian diberikan terhadapnya. Dia bertindakbalas dengan selalu merajuk dan meminta yang bukan-bukan .
Pada hari pertama adiknya dilahirkan, bila aku bawakannya ke hospital berjumpa uminya, dia kelihatan tak tentu arah. Asyik meminta aku dokongkan dan memeluknya. Aku lihat dia serba salah untuk mendekati uminya, entah apa di fikirannya ...
Kemudian, hari pertama ibunya pulang kerumah dari hospital, dia buat endah tak endah. Tapi malamnya, bila mahu tidur, dia mencari uminya. Agaknya disebabkan uminya sibuk dengan adik kecil, sekejap sahaja dia melolong mencariku. Keesokan malamnya, dia sudah tidak mencari uminya untuk tidur. Pandai-pandai tidur sendiri bersama kakaknya.
Sayu rasa hati, tetapi itulah hakikat kehidupan. Cabaran yang berada didepannya jauh lebih mencabar.
Anak kami yang kelima, yang juga merupakan putera kami yang ketiga telah selamat dilahirkan jam 1.47 petang. Bagaimana pun aku hanya mendapat tahu perkara tersebut pada pukul 3.30 petang. Itu pun setelah aku sendiri pergi mengetuk wad bersalin dan bertanyakan dengan kakitangan wad. Geram juga rasanya kerana tadinya kakitangan hospital mengatakan akan memberitahu samaada melalui telefon atau pengumuman dalaman hospital sebaik saja isteriku selamat bersalin.
Tercanggak begitu lama di tempat menunggu adalah sesuatu yang amat memenatkan fizikal dan mental, tambahan pula ketika isteri sedang melalui saat yang kritikal. Pun begitu, hati kembali sejuk bila dinyatakan kedua-dua mereka sihat.
Bayi dibawa keluar dari bilik bersalin untuk aku azankan sekitar 4.00 petang. Kemudianya hanya sekitar 5 petang barulah isteri dan bayi di bawa keluar dari wad bersalin untuk dimasukkan kewad berehat. Sebagai pegawai kerajaan, kami mendapat wad yang sangat baik, kelas 1 seorang saja sebilik. Facilitinya pun agak memuaskan.
Sekitar 6 petang, aku kembali kerumah untuk membawa anak-anak yang lain berjumpa dengan umi mereka sambil melihat anggota baru keluarga kami. Mereka begitu gembira.
Semasa aku terjaga sekitar 5.30 pagi semalam, isteriku kelihatannya masih belum tidur. Tak dapat tidur semalaman katanya. Contraction dah semakin kerap dan kuat, tambahnya lagi.
Sebenarnya usia kandungan beliau sudah memasuki minggu yang ke39, dan berdasarkan pengalaman empat anak yang sebelum ni, kesemua lahir sebelum mencecah minggu ke 39. Jadi kami memang menjangkakan akan menerima cahaya mata pada bila bila masa. Dan sejak 2-3 hari kebelakangan, beliau sukar hendak tidur kecuali di lewat pagi.
Aku terus bangkit dan cuba memikirkan apa yang perlu dilakukan. Selalunya aku yang terlebih panik dan tergesa gesa untuk mengajaknya kehospital. Tetapi isteriku ingin melihat dulu perkembangan sebelum kesana kerana tidak mahu menghabiskan masa yang lama di hospital. Lagipun, jarak rumah kami dengan Hospital Besar Kangar kurang dari 10 minit berkereta, dan di Kangar memang tidak pernah ada traffic jem.
Persiapan lain memang tidak ada apa2 yang perlu dilakukan. Semuanya telah kami pack dan kumpulkan. Malahan, beg utama perkakasan isteriku sudah ada dalam kereta sejak dua minggu yang lepas.
Menjelang 9.30 pagi, contraction semakin kerap sekitar setiap 10 minit, dan kami fikir masa telah tiba untuk kami kehospital. Sebelum kami turun dari rumah, isteriku menyatakan tanda sudah ada, dimana sudah ada sedikit pendarahan.
Aku mengejutkan anak keempat kami untuk dibawa bersama. Nanti kalau dia tersedar dan kami tiada, kuat pula tangisnya nanti.
Sebaik tiba di hospital, selepas pendaftaran masuk dan sebagainya, isteri terus di masukkan ketempat pemeriksaan. Sambil-sambil tu aku terpaksa banyak bersabar dan melayani karenah Sufya. Nasib baik tadi bawa loli-pop, makan juga pujuk. Aku berlegar disekitar hospital dengan Sufya sambil menunggu perkembangan seterusnya dengan hati yang cemas.
Sudah lama sebenarnya aku mengidamkan sebuah kamera SLR, namun sejak akhir-akhir kuat benar perasaan untuk memilikinya. Sejak 2 minggu kebelakangan, aku asyik membaca review digital SLR di internet.
Pada permulaannya aku tertumpu kepada Canon EOS400D, tetapi sejak 3-4 hari lepas, beralih angin kepada produk Nikon, terutamanya D40x dan D80. Semalam dah tak tahan sangat, terus cari maklumat Nikon dealer disebelah utara Malaysia. Terdapat dua dealer di Alor Setar.
Lantas, 9.30 pagi tadi terus telefon salah satu dealer tersebut. Harga ok, ada promotion lagi. Jadi setelah kepasar pagi, terus pecut kereta ke Alor Setar. Alhamdulillah, cuaca baik dan traffic pun tak banyak. Terus ke kedai tersebut dan setelah cuba beberapa shot menggunakan D40x, memang selesa sungguh ditangan ku, terus beli.
Seminggu dua ni banyaklah perkara baru yang perlu dipelajari mengenai toy baru ni.
Seorang teman rapat keluarga akan mengadakan kenduri di kampungnya di Kupang, Baling pada hari raya haji ketiga iaitu 22 Dis sempena perkahwinan anak sulung beliau. Oleh kerana kami menjangka tidak dapat hadir pada tarikh tersebut, kami bercadang untuk melawat beliau sambil berhariraya sebelum tarikh kenduri tersebut.
Kami sekeluarga bertolak pada awal malam rabu, 19 Dis dan tiba di hotel penginapan, Baling Inn sekitar jam 12 t.malam. Walaupun semua penat, tapi anak-anak hanya tidur sekitar 3.30 pagi. Keesokannya, semua bangun lewat dan tak sempat bersembahyang raya.
Kami menziarahi sahabat tersebut sekitar jam 9.30 pagi. Setelah menjamu selera dengan juadah yang disediakan, aku menghantar keluarga balik ke hotel, manakala aku kembali kerumah sahabat tadi untuk menghulurkan bantuan tenaga sedikit sebanyak membantu persiapan kenduri. Aku balik ke hotel jam 3 petang.
Sekitar 4 petang, kami bertolak balik ke Kangar. Dalam perjalanan balik, melalui jalan Kulim-Butterworth, cadang nak singgah rumah kakak za di Bandar Baru Serdang, tetapi menukar fikiran di saat akhir memandang cuaca yang tidak memberangsangkan.
Singgah makan malam (Pizza Hut) di Sungai Petani (tak ingat nama shopping kompleks yang baru buka bulan nov 07 tu). Kami tiba dirumah sekitar jam 10 malam.
