Sufya
Sufya adalah anak kami yang keempat, dilahirkan pada 17 Jun 2005 di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Kelang.
Tahun 2005 adalah tahun yang kami selalu merujuk sebagai Tahun Seribu Peristiwa, dimana pada tahun ini pelbagai peristiwa manis, pahit, masam, kelat dan sebagainya telah kami tempuhi dan lalui, yang banyak mematangkan kami sekeluarga dalam menghadapi kehidupan dihari muka. Ianya berpunca dari keputusanku untuk meninggalkan pekerjaan yang bergaji tetap kepada satu corak kehidupan yang bercorak baru..
Maka pada tahun itulah Sufya dilahirkan. Justeru, tidak hairan jika banyak perbezaannya dengan abang2 dan kakaknya. Pertamanya dia sangat petah dan lancar bercakap, dan keduanya dia sangat sensitif. Dia sangat suka bercerita kepadaku tentang apa saja yang dilihat dan didengarnya. Dan amat sensitif dengan tindakbalasku. Selalunya bila aku sibuk dengan perkara lain, aku hanya respon " ya, ahaa, angguk" dan sebagainya. Ini amat tidak disukainya. Selalunya dia akan mengatakan, " abah, cakaplah dengan Pila, abah". Begitulah Sufya yang mendapat sepenuh perhatian dari kami sekeluarga.
Akan tetapi, Sufya sekarang sedang melalui fasa-fasa baru didalam kehidupannya, iaitu menerima kedatangan adiknya. Semasa isteriku sedang melalui minggu-minggu terakhir sebelum melahirkan adiknya, Sufya telah dapat merasakan kurang perhatian diberikan terhadapnya. Dia bertindakbalas dengan selalu merajuk dan meminta yang bukan-bukan .
Pada hari pertama adiknya dilahirkan, bila aku bawakannya ke hospital berjumpa uminya, dia kelihatan tak tentu arah. Asyik meminta aku dokongkan dan memeluknya. Aku lihat dia serba salah untuk mendekati uminya, entah apa di fikirannya ...
Kemudian, hari pertama ibunya pulang kerumah dari hospital, dia buat endah tak endah. Tapi malamnya, bila mahu tidur, dia mencari uminya. Agaknya disebabkan uminya sibuk dengan adik kecil, sekejap sahaja dia melolong mencariku. Keesokan malamnya, dia sudah tidak mencari uminya untuk tidur. Pandai-pandai tidur sendiri bersama kakaknya.
Sayu rasa hati, tetapi itulah hakikat kehidupan. Cabaran yang berada didepannya jauh lebih mencabar.